Dua suspek Pukul pekerja Petronas ditahan

POLIS berjaya menahan dua lelaki yang aksi mereka dirakam memukul dan membaling objek kepada seorang pekerja stesen minyak Petronas di Sungkai, pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di dua lokasi berasingan hari ini dan semalam.

“Suspek pertama adalah seorang lelaki berusia 40 tahun yang ditahan di kediamannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pada jam 9.45 malam semalam.

"Seorang lagi suspek adalah lelaki berusia 25 tahun dan ditahan di perkarangan IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tapah ketika menyerah diri pada 4.15 petang hari ini," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, suspek pertama direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut, manakala polis akan mendapatkan perintah reman untuk suspek kedua di Mahkamah Majistret Tapah, esok.

Katanya, sebelum ini polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, namun diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 147 Kanun kerana merusuh.

Semalam, polis meminta dua lelaki yang aksi mereka dirakam memukul dan membaling objek dalam kejadian berkenaan, menyerah diri.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV ) menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada jam 12.45 tengah hari, pada hari kejadian.

Difahamkan, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Lelaki berkenaan dipercayai tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf.

Sekumpulan lelaki kemudian menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis mendakwa mengalami kesakitan di beberapa anggota badannya.

Sumber:Harian Metro

Comments

Popular posts from this blog

Apabila Si Tua Bergaduh

IPhone 5 Vs Samsung Galaxy S4